Thursday, May 24, 2012

Kesihatan Oral Jangan Diabaikan!



Kesihatan bukan hanya terletak pada anggota luaran tetapi juga dalaman seseorang individu. Ini merangkumi kesihatan gigi, gusi dan mulut secara keseluruhannya. Harus diingat bahawa  kesihatan mulut yang diabaikan boleh mengundang pelbagai masalah seperti penyakit gusi (Periodontium), nafas berbau, kerosakan gigi ( karies gigi) dan sebagainya.


Penjagaan Kesihatan Oral
Kesihatan oral amat penting kerana sebarang gangguan kesihatan oral akan membawa kesan kepada struktur atau fungsi bahagian oral atau kedua-duanya sekali. Gangguan-gangguan kesihatan oral boleh mengakibatkan masalah sakit gigi dan bengkak gusi serta penularan kuman di mulut dan muka, kehilangan gigi dan masalah kekurangan keupayaan mengunyah makanan, masalah estetik muka, pertuturan yang terganggu, masalah pernafasan waktu tidur dan kurang daya untuk berkomunikasi.

Sakit gigi
Kebanyakan sakit gigi berpunca daripada kerosakan gigi. Sekiranya kerosakan itu tidak dirawat, kebengkakan boleh terjadi. Kerosakan gigi atau karies gigig ini berkait rapat dengan diet anda. Ia lebih dipengaruhi oleh kekerapan memakan makanan-makanan manis. Gigi boleh menjadi rosakn disebabkan oleh bakteria dalam plak yang menghasilkan asid daripada makanan berkanji dan gula tadi. Jadi apa yang dapat dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan gigi adalah dengan ;

  • Mengawal pengambilan gula dengan memakan makanan manis ( bergula) hanya semasa waktu makan utama.
  • Mengurangkan / mengelakkan memakan snek di antara waktu makan utama.
  • Mengelakkan minuman berkabonat kerana kandungan gula tinggi dan berasid.
  • Mengekalkan kebersihan mulut yang baik dengan memberus gigi dengan berkesan setiap hari mengunakan ubat gigi berfluorida, menggunakan eflossi untuk mencuci celah-celah gigi dan mendapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya sekali setahun.



Penyakit gusi ( penyakit periodontium) boleh terjadi di peringkat kanak-kanak lagi dan keadaan mungkin menjadi semakin teruk seiring dengan peningkatan umut. Penyebab utama penyakit gusi ini adalah plak. Bakteria dalam plak menghasilkan toksin yang menyebabkan gusi merah, bengkak serta mudah berdarah. Jikan tidak dirawat, penyakit gusi boleh merebak ke tulang yang menyokong gigi dan akhirnya menyebabkan gigi bergoyang. Ini mungkin berkait dengan ;

  •  Kurang penjagaan kebersihan mulut.
  •  Tabiat merokok.
  •  Penyakit diabetis.
  •  Mulut kering.
  •  Perubahan hormone.




Kanser mulut
Kanser mulut adalah ketumbuhan tidak normal yang didapati di kawasan mulut. ‘Malignans’ ini boleh dikesan semasa pemeriksaan mulut. Kanser mulut biasanya berlaku di bahagian pipi, lidah, dasar mulut dan bibir. Anda harus mengambil perhatian sekiranya terdapat perubahan berikut dalam mulut anda ;

  • Perubahan warna seperti putih atau merah.
  • Benjolan, bintik-bintik kasar dan tanda-tanda luka.
  • Ulser yang mudah berdarah dan tidak sembuh.
  • Kesukaran mengunyah, menelan, bercakap atau membuka mulut serta menggerakkan lidah.
  • Perubahan suara.
  • Sakit dan kebas di mulut dan bibir.( Di samping itu, perhatikan juga perubahan lain seperti penurunan berat badan dengan mendadak, ketulan atau benjolan di leher).





Kanser mulut boleh dicegah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko kanser mulut termasuklah ;

§  Mengelakkan kegiatan merokok atau mengunyah sirih.
§  Mengawal pengambilan alkohol
§  Elakkan pendedahan berlebihan kepada matahari untuk mengelak kanser bibir.
§  Mengambil lebih sayuran dan buahan di dalam diet seharian.
§  Mengekalkan berat badan ideal melalui pengambilan makanan seimbang dan senaman yang rutin.

Penyakit sendi rahang mulut (TMJ)
Penyakit atau kekejangan sendi rahang mulut boleh menyebabkan kesakitan seakan sakit gigi. Kesakitan biasanya dirasai pada waktu pagi atau lewat tengahari.


Ulser ‘Aphthousi’ ( pecah mulut)
Ulser mulut boleh menyebabkan rasa sakit yang memedihkan. Kebiasaanya ulser akan sembuh dalam tempoh 7 hingga 10 hari. Kadangkala, rasa sakit gigi tidak berpunca daripada kerosakan gigi, gusi atau sendi rahang tetapi mungkin berkait dengan masalah kesihatan yang lain seperti penyakit jantung, sakit telinga atau sinusitis.



Nafas berbau
Masalah nafas berbau atau nama saintifiknya ‘halitosis’ memang memalukan. Ia paling kerap berlaku ketika bangun dari tidur dan keadaan ini dialami berikutan tiada kegiatan pada kelenjar air liur. Faktor umum nafas berbau berpunca daripada penjagaan mulut tidak sempurna, iaitu apabila gigi tidak dibersihkan dengan betul dan tidak mendapat perhatian khusus sehingga menyebabkan gigi berlubang. Makanan seperti  petai, jering, rebung, tempoyak dan durian boleh menyebabkan nafas berbau. Begitu juga dengan minum teh, kopi atau minuman keras. Selain itu masalah nafas berbau juga dikaitkan dengan penyakit tertentu pada saluran penghadaman dan esophagus. Ia juga boleh disebabkan penyakit tonsillitis dan tumor sama ada pada gusi ataupun lidah. Namun begitu, biasanya nafas berbau terjadi kerana masalah gigi berlubang, hidung berdarah dan hingus meleleh. Berikut adalah tip untuk mengatasi masalah nafas berbau ;


  • Amalkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran ( selain daripada yang di nyatakan di atas) di dalam setiap menu harian anda.
  • Amalkan pemakanan seimbang setiap hari dan jangan lupa minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
  • Kurangkan pengambilan gula atau makanan yang terlalu manis.